NEW YORK: Novak Djokovic menewaskan Alexandre Muller 6-0, 6-2, 6-3 ketika kembali ke Terbuka AS pada Isnin malam sekali gus berada di kedudukan teratas ranking dunia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Djokovic hanya mengambil masa 1 jam 35 minit untuk mengetepikan pemain Perancis Muller untuk menurunkan kedudukan Carlos Alcaraz sebagai pendahulu ranking, walaupun jika pemain Sepanyol itu memenangi gelaran itu sekali lagi.

Ini kerana Djokovic tidak mempunyai mata untuk dipertahankannya pada grand slam New York di mana beliau tidak bermain tahun lalu kerana peraturan COVID-19 Amerika Syarikat yang menafikannya masuk ke negara itu.

Djokovic akan memulakan minggu ke-390 dengan rekod berada di puncak ranking ATP apabila senarai baharu dikeluarkan.

Perlawanan Isnin hanya bermula pada pukul 11 malam kerana perlawanan sebelumnya agak panjang, dan satu majlis turut diadakan di Arthur Ashe Court.

"Kami bermula sangat lewat tetapi saya teruja dapat turun ke gelanggang," kata Djokovic.

"Saya percaya saya bermain hebat dari awal hingga akhir. Beberapa gangguan, tetapi saya suka tahap itu. Harap saya dapat mengekalkannya pada pusingan seterusnya juga."

--BERNAMA-dpa